Cuba anda bayangkan..berlari 10 meter dalam masa 1 saat...ish2...
![]() |
| Usain Bolt |
Atlet Jamaica, Usain Bolt meleburkan rekod dunia 100 meter yang dipegangnya untuk memenangi perlumbaan akhir pada Kejohanan Dunia dengan catatan 9.58 saat di sini kelmarin.
Manusia terpantas di dunia itu mengurangkan catatan sehingga 0.11s berbanding rekod dunia 9.69s yang dicatat ketika memenang emas pada Sukan Olimpik Beijing setahun lalu, detik yang membawa acara itu ke zon masa yang tidak pernah dibayangkan sebelum kemunculannya dalam acara pecut.
Pelari Amerika Syarikat, Tyson Gay, juara dunia kejohanan 2007, menamatkan saingan di tempat kedua dengan masa 9.71s, catatan ketiga terpantas yang pernah direkodkan.
Seorang lagi atlet Jamaica, Asafa Powell meraih gangsa dengan masa 9.84s.
Berbanding ketika acara akhir Sukan Olimpik, apabila dia meraikan kejayaan lebih awal sebelum melintasi garisan penamat, Bolt hanya meraikan kejayaan sehingga melepasi garisan penamat.
Lazimnya rekod dunia acara 100m dikurangkan masanya dalam lingkungan 0.01s atau 0.02s, menjadikan pengurangan yang dilakukan oleh Bolt kelmarin amat menakjubkan.
“Saya tidak berlari untuk rekod dunia. Sasarannya hanyalah menyertai larian di sini dan melaksanakannya, kerana ia adalah perlumbaan sukar.
“Saya bermula baik, saya memperolehnya pada 20 meter pertama dan inilah kesudahannya.
“Saya pernah katakan, apa sahaja boleh berlaku dan ia akhirnya terjadi. Ia memang sasaran utama namun apabila saya mencatat 9.58 saat, saya amat gembira terhadap diri sendiri,’’ katanya.
Bolt bakal menerima AS$100,000 (RM353,750) dari Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) kerana catatan rekod dunia itu, namun ia hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang akan dibayar oleh penajanya.
Bolt, yang mengalami pembatalan permulaan semasa acara separuh akhir, melakukan permulaan baik pada acara akhir dan ia amat ketara mulai 20 meter pertama lagi.
Dia melintas garisan penamat dengan sebelah matanya melihat ke arah jam catatan masa sebelum menepuk tangan ke dada.
Dia didakap oleh rakannya, Powell dan kemudiannya berlari mengelilingi stadium untuk meraikan kejayaan bersama 70,000 penonton.
“Hari ini amat sempurna. Ini memberikan saya banyak tenaga. Terutamanya penonton. Saya tidak akan melupakannya,’’ kata Bolt kepada penonton menerusi pembesar suara stadium.
Bolt, yang lima hari lagi mencecah usia 23 tahun, bergelut untuk meraih kejuaraan kejohanan besar yang tidak pernah dimenanginya sebelum ini.
Kini dia kini telah memperoleh koleksi sempurna daripada Gay, walaupun sebelum ini dia mengeluh kerana persediaannya untuk Kejohanan Dunia dibelenggu masalah hujan dan angin ketika dia beraksi di kejohanan Eropah.
Dia juga terpaksa menjalani pembedahan kecil untuk mengeluarkan kaca daripada kakinya selepas terlibat dalam kemalangan April lalu.





0 comments:
Post a Comment